5 Januari 2019 - 16:15
500 Terbunuh, Pengganas Syria Perang Sesama Sendiri

Lebih daripada 500 orang anggota kumpulan pengganas telah terbunuh di wilayah Idlib, Syria dengan ramai di antara mereka yang dibunuh secara mendadak, selepas pertempuran dalaman tercetus di di antara kumpulan militan yang beroperasi di negara Arab tersebut, lapor TV al-Mayadeen.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Lebih daripada 500 orang anggota kumpulan pengganas telah terbunuh di wilayah Idlib, Syria dengan ramai di antara mereka yang dibunuh secara mendadak, selepas pertempuran dalaman tercetus di di antara kumpulan militan yang beroperasi di negara Arab tersebut, lapor TV al-Mayadeen.

Pertempuran tercetus pada hari Selasa lalu selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda menyerang dan menduduki sebuah wilayah luas yang sebelum ini dipegang oleh kumpulan militan yang didukung Turki di wilayah Aleppo.

HTS dilaporkan melancarkan serangan selepas kumpulan militan Nour al-Din al-Zenki yang merupakan sekutu kumpulan NFL membunuh lima orang anggota kumpulan Takfiri tersebut.

Pertempuran kini telah merebak ke wilayah Idlib dan Hama dengan laporan terkini yang turut menyatakan bahawa puak militan yang lain; termasuk kumpulan yang dikenali Free Syrian Army - pro Ankara- juga telah menyertai pertempuran tersebut.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR) yang bersimpati dengan perjuangan kumpulan militan di Syria, mengesahkan laporan itu. Akan tetapi, mereka meletakkan angka kematian di sekitar 100 orang sahaja.

Al-Mayadeen menyifatkan angka kematian yang tinggi tersebut diakibatkan oleh serangan hendap dan pembunuhan tahanan oleh pihak yang bertelagah. Mereka juga berkata bahawaa hampir 20 orang awam, termasuk tiga kanak-kanak, turut terbunuh di dalam pertempuran tersebut.

Pertempuran itu tercetus ketika tentera Turki dan kumpulan militan yang berada di bawah perlindungan mereka sedang berusaha mengukuhkan kedudukan mereka di wilayah yang dikuasai mereka selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan penarikan tentera mereka daripada bumi Syria.

Sebuah akhbar Qatar pada hari Jumaat lepas menukilkan seorang sumber di majlis perbandaraan wilayah Dayr al-Zawr yang ditadbir oleh puak Kurdish sebagai berkata bahawa sebuah konvoi yang terdiri daripada sekitar 100 buah trak telah membawa keluar kenderaan dan peralatan ketenteraan A.S dari kawasan itu.

Al-Ra'yah melaporkan bahawa anggota militan daripada kumpulan SDF yang disokong A.S berkata bahawa konvoi itu menuju ke wilayah Kurdistan di Iraq melalui wilayah timur laut Syria, Hasakah.

Awal minggu ini, tentera Amerika dilaporkan telah meninggalkan pangkalan tentera di al-Hasakah, Syria. - Press TV